Traditional Foods

Kelantan yang terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai jenis makanan warisan. Terdapat pelbagai makanan tradisionalnya yang unik dan berbeza dengan makanan Melayu di negeri lain. Bukan sahaja namanya yang unik malah rasanya yang manis  juga mencerminkan identiti makanan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Berikut dinyatakan beberapa jenis hidangan warisan Negeri Kelantan:

1. Budu
 

Budu ialah sejenis sos ikan yang cukup terkenal di Negeri Kelantan yang biasanya dimakan bersama nasi dan ulam-ulaman. Ia dihasilkan daripada ikan bilis dan garam yang diperam sehingga memberikan rasa dan bau yang unik. Bukan sahaja rasanya yang sedap malah ia juga sebagai sumber terbaik Vitamin B12 dan garam galian seperti kalsium, natrium, magnesium, zat besi dan fosforus. Boleh cuba ini: Tumis budu 
Maklumat lanjut tentang budu boleh dapatkan di sini: 5 Sebab perlu makan Budu

2. Nasi kerabu
 

Jika ke Negeri Kelantan, pasti tidak lengkap tanpa mencuba nasi kerabu yang sungguh sedap dan menyihatkan. Iaitu hidangan nasi berwarna biru yang dimakan dengan pelbagai jenis lauk pauk seperti ikan goreng celup tepung, telur masin, daging bakar, ayam goreng biasa atau berempah dan pelbagai jenis ulam seperti daun kesom, kobis, kacang panjang, kacang botol, timun, serai dan bunga kantan. Tidak lengkap jika tidak dimakan bersama budu, sambal merah, kerisik kelapa dan juga keropok ikan. 
Boleh cuba ini: Nasi kerabu kuning

3. Laksam
Laksam amat terkenal sebagai salah satu menu sarapan pagi di Negeri Kelantan. Kini, ia bukan sahaja popular di negeri Cik Siti Wan Kembang, malah telah diperkenalkan sebagai salah satu menu utama sarapan pagi di tempat-tempat lain di Malaysia. Laksam yang diperbuat daripada tepung beras dan tepung jagung ini dimakan bersama kuah ikan bersantan  pekat. Lebih enak digaul bersama ulam-ulaman dan sambal belacan.
Cuba ini: Laksam, Laksam Nsm

4. Nasi tumpang

 
Nasi tumpang hanya boleh dijumpai di Negeri Kelantan iaitu gabungan nasi  bersama lauk yang diletakkan dalam daun pisang dan digulung berbentuk kon. Lauknya terdiri daripada masak lemak ikan, udang, serunding, sambal daging dan lain-lain lagi mengikut citarasa pembuatnya. Biasanya kelongsong daun pisang akan dibuat terlebih dahulu dan dimasukkan nasi panas seakan nasi impit  yang akan diletakkan berselangseli dengan pelbagai jenis lauk.

5. Ayam percik
 
Ayam percik Kelantan sememangnya begitu lazat dan menyelerakan. Kuahnya yang berbeza dari tempat lain menjadikan ayam percik Kelantan begitu unik dan digemari ramai. Untuk merasa sendiri keasliannya boleh cuba ini: Ayam Percik Ala Kelantan

6. Kuih akok
Kuih akok adalah salah satu kuih tradisional yang sangat terkenal di negeri Pantai Timur ini khususnya ketika bulan Ramadhan. Bahan utama untuk menghasilkan kuih ini adalah telur, gula melaka, tepung gandum dan santan yang menjadikan rasanya lemak manis dan digemari oleh semua peringkat usia. Cara memasaknya menjadi tarikan kerana ia dibakar menggunakan api atas dan bawah seperti proses membuat kuih bahulu tetapi berbeza dari segi penggunaan acuannya.

7. Jalamas
 

Kuih jala mas adalah sejenis hidangan kuih lemak manis yang biasanya disediakan  ketika perayaan ataupun hari istimewa seperti hari peminangan dan perkahwinan di Negeri Kelantan. Kuih yang mempunyai bentuk berjurai seperti mee halus ini dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula. Lebih elok menggunakan telur itik kerana ia mempunyai saiz kuning telur yang lebih besar berbanding telur ayam. Biasanya  ia dibuat bersama kuih tahi itik supaya tidak membazir baki putih telur yang tidak digunakan.

8. Buah Tanjong
 
Kuih bunga tanjung begitu sinonim dengan Negeri Kelantan iaitu sejenis kuih yang dibuat menggunakan telur bercampur tepung dan disira dalam air gula. Ia dibentuk dengan menggunakan acuan dan dibentuk seperti titisan air yang berwarna kuning, tetapi boleh juga dibentuk dengan pelbagai bentuk lain mengikut citarasa pembuatnya.

9. Lompat tikam
 

Makanan Kelantan banyak dipengaruhi dengan rasa yang manis seperti kuih lompat tikam ini. Ia mempunyai dua lapisan iaitu lapisan tepung beras yang biasanya berwarna hijau di bahagian bawah dan lapisan santan yang berwarna putih di bahagian atas. Bahagian ini dibuat tawar kerana ia dimakan bersama air manisan atau gula kabung dan sesuai diminum bersama air putih.

Banyak lagi makanan istimewa lain yang boleh di dapati di Negeri Kelantan yang kaya dengan pelbagai jenis makanan tradisional yang sedap dan unik. Hidangan yang diutarakan ini sedikit sebanyak mungkin boleh membantu kita untuk lebih mengenali Negeri Kelantan supaya warisan nenek moyang kita tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas.

credit to http://www.trymasak.my

No comments:

Post a Comment